http://gengkembar.blogspot.com/

Wednesday, November 24, 2010

Kisah Kembar Siam Di Malaysia

NORHISHAM memegang Nur Badrishah sementara Sopiah membawa
Nur Bahiyah keluar dari HKL semalam.


KUALA LUMPUR - Pasangan kembar siam, Nur Badrishah dan Nur Bahiyah akhirnya dibenarkan keluar dari Hospital Kuala Lumpur (HKL) semalam dengan doktor yakin mereka akan menjalani kehidupan normal.


Mereka telah menjalani pembedahan pemisahan dengan selamat pada 2 Februari lalu dan akan diletakkan di bawah pengawasan doktor di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Kedah.


Ketua Jabatan Bedah Pediatrik HKL, Datuk Dr. Zakaria Zahari (gambar kecil) menjangkakan tidak ada pembedahan major akan dilakukan dalam masa terdekat ke atas kembar itu.


"Memang kita bercadang membentuk saluran dubur baru tetapi bukan dalam masa terdekat ini dan dijangka hanya ketika usia mereka tiga tahun.


"Setakat ini, kami memasang cystoscopy iaitu kamera optik dalam pundi kencing dan kemaluan untuk memantau organ berkenaan. Kamera itu akan berada dalam badan mereka sampai umur tiga tahun,'' katanya.


Zakaria berkata, Nur Badrishah mempunyai satu ovari, bahagian yang mengeluarkan telur.


Menurutnya, Nur Bahiyah pula mempunyai dua ovari dan ia akan berfungsi normal seperti bayi perempuan lain serta wujud ciri-ciri keperempuanan seperti kedatangan haid apabila dewasa kelak.


Menurut bapa mereka, Norhisyam Mohammad, 30, sekiranya tiada sebarang masalah mereka akan dibenarkan untuk mendapatkan rawatan susulan di Hospital Kangar, Perlis.


"Setelah lebih enam bulan berada di katil hospital, kedua-dua anak saya ini akhirnya akan pulang ke rumah dan saya begitu gembira mereka sudah sihat," katanya.


Isterinya, Sopiah Daud pula menyatakan hasrat untuk mengadakan kenduri doa selamat sebaik sahaja anak-anaknya dibenarkan pulang ke rumah.


Pasangan kembar Siam itu dilahirkan pada 22 September tahun lalu pada pukul 10.33 pagi menerusi pembedahan selama kira-kira sejam 25 minit.


Pembedahan tersebut diketuai seorang pakar perbidanan dengan dibantu dua pegawai perubatan di HSB, Kedah.


Kes pasangan kembar itu mendapat liputan meluas apabila dilahirkan dalam keadaan bersambung di bahagian abdomen, tidak mempunyai punggung dan masing masing memiliki sepasang kaki dan tangan.


Mereka kemudian dimasukkan ke HKL tiga hari kemudian untuk menjalani pembedahan bagi membetulkan saluran najis dan pundi kencing.


Pasangan kembar itu telah dipindahkan ke HSB, pukul 3 petang semalam dengan menaiki ambulans.

SUMBER: KOSMO,17/03/2008


*******************************************************



KUALA LUMPUR 8 Feb. - Kembar Siam, Nur Badrishah dan Nur Bahiyah Norhisyam akan dipindahkan ke wad biasa minggu depan selepas kedua-duanya tidak lagi bergantung kepada alat bantuan pernafasan.

BERJAYA DIPISAHKAN...Pasangan kembar Siam, Nur Bahiyah (kiri) dan Nur Badrishah Norhisyam (kanan) yang bercantum di bahagian punggung dan berkongsi usus (gambar bawah) berjaya dipisahkan (gambar atas) melalui pembedahan selama 15 jam di Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur semalam.

Ketua Jabatan Bedah Pediatrik Hospital Kuala Lumpur (HKL), Datuk Dr. Zakaria Zahari berkata, kedua-dua bayi berkenaan juga akan diberi makan secara normal.

Beliau berkata, bagaimanapun pemerhatian khusus diteruskan bagi mengelak jangkitan kuman terutama pada usus yang terlibat di dalam pembedahan baru-baru ini.

''Pembedahan yang sangat kompleks selama kira-kira 15 jam itu melibatkan semua pakar dan jururawat dari pelbagai bidang di HKL.

''Kita sangat komited terutama dalam penjagaannya apabila sebelum ini mempunyai berat dua kilogram dan kini meningkat sehingga 10 kilogram,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai keadaan pasangan kembar Siam itu di Auditorium Institut Pediatrik, HKL, di sini hari ini.

Kes pasangan kembar ini mendapat liputan meluas apabila kedua-dua mereka dilahirkan dalam keadaan bersambung di bahagian abdomen dan tidak mempunyai punggung tetapi masing-masing memilik sepasang kaki dan tangan.

Mereka dilahirkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Star pada 22 September tahun dan berjaya dipisahkan sepasukan pakar perubatan HKL pada 2 Februari lalu.

Zakaria memberitahu, kedua-dua bayi itu akan mendapatkan rawatan susulan di HSB bagi memudahkan kedua-dua ibu bapa kembar itu yang berasal dari Perlis.

''Kita juga akan menghantar pasukan pediatrik untuk membantu Ketua Jabatan Bedah Kanak-Kanak HSB, Mohan Nallusamy untuk membuat pembedahan selanjutnya,'' ujarnya.

Menyentuh mengenai pembedahan bagi membentuk fizikal baru terutama kemaluan bayi berkenaan, beliau berkata, mereka sudah mempunyai saluran kemaluan dan saluran pundi kencing masing-masing.

''Nur Badrishah mempunyai satu telur (ovari) manakala Nur Bahiyah mempunyai dua telur dan ia akan berfungsi normal seperti bayi perempuan lain.

''Kita juga bercadang untuk membentuk saluran dubur baru tetapi bukan dalam jangka masa terdekat,'' jelasnya.

Katanya, pada masa ini mereka bergantung sepenuhnya pada beg khusus yang diletakkan di pinggang untuk mengumpulkan najis.

Ditanya potensi mereka untuk membuang air kecil dan besar secara normal sehingga mereka besar kelak, katanya, ia masih samar dan akan diketahui apabila mereka besar sedikit.

Sementara itu, bapa pasangan bayi berkenaan, Norhisyam Mohamad, 31, bersyukur kerana anak mereka semakin aktif.

SUMBER: Utusan Malaysia,09/02/2008

0 pengomen yang bakal mendapat anak kembar:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Entri Terdahulu

Share & Enjoy

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More